Monday, October 7, 2013

Islam sebagai gerakan pembebasan

Agama sering dilihat sebagai nadi dalam kehidupan masyarakat sejak zaman berzaman dalam meneruskan proses kelangsungan hidup. Dari dahulu lagi, masyarakat primitif memuja-muja semangat pokok, batu, kayu, menyembah matahari bagi “melindungi” populasi mereka dari pelbagai bencana alam yang mengancam kehidupan mereka. Tidak kurang juga yang menyembah semangat padi bagi meningkatkan hasil-hasil tanaman mereka.
      Di zaman pasca-industrial ini, di mana strata sosialnya semakin jelas kelihatan, dengan peratusan kecil populasi elit yang semakin kaya dan giat mengumpulkan kekayaannya, tertinggal sejumlah besar golongan kelas menengah dan miskin yang bergasak dan bekerja hari demi hari bagi mencari sesuap nasi demi meneruskan hidup. Justeru,fokus terhadap agama (dalam konteks artikel ini, Islam) menjadi kurang kerana keperluan hidup yang semakin mendesak berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan agama tidak mempunyai ruang untuk difikirkan dan dihayati maknanya.
     Penghayatan sempit kalaupun ada, masa-masa terluang yang berbaki hanya diisi dengan solat berjemaah di masjid, zikir-zikir harian, bacaan Quran dan segala macam ritual yang berkaitan dengan spiritual. Kuliah-kuliah agama, motivasi-motivasi pula selalunya berbentuk bagaimana mengurus masa, menjadi muslim professional, menjadi ibu bapa yang baik, menjadi insan yang sabar dan bersyukur, dan segala macam kursus-kursus dan forum mengenai membentuk akhlak insani yang syumul.
     Bagi remaja pula, forum-forum cinta Islamik pula menjadi tarikan dimana-mana dengan memberikan ceritera-ceritera kemanisan bercinta masa belajar, diselitkan adegan-adegan manja para agamawan-agamawan populis yang menceritakan pengalaman berkahwinnya semasa berlajar. Yang menghairankan,begitu kurangnya kuliah-kuliah agama, forum-forum yang berbentuk menentang penindasan dan kezaliman: keadaan sosio-ekonomi yang membimbangkan, kebanjiran orang-orang tidak berumah, rakyat-rakyat miskin di jalanan, kebejatan sosial yang semakin parah hasil pembahagian ekonomi yang tidak sekata dan segala macam sisi gelap kapitalis-kapitalis besar yang mengaut keuntungan besar dengan meminggirkan sebahagian besar masyarakat majoriti yang terdesak.
     Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah Islam itu agama yang mengajar perkara yang indah-indah seperti pahala, beramal soleh, mendapatkan syurga, bidadari, cinta Islamik yang membahagiakan sahaja? Ataupun Islam hanya agama yang mengajar tentang ancaman-ancaman neraka, siapa yang termasuk golongan kafir, meredah kelab-kelab malam, menerjah penzina-penzina di dalam hotel-hotel semata? Ataupun Islam hanya agama yang mengajar motivasi-motivasi bagaimana menjadi muslim berakhlak mulia, menjadi anak soleh, menjadi ibu bapa contoh, menjadi usahawan cemerlang, menjadi qari-qariah dan membuat lebih banyak pertandingan-pertandingan tilawah, tahfiz Quran semata?

Islam dan pembebasan

     Ashgar Ali (1990) dalam bukunya “Islam dan Teologi Pembebasan” membahaskan banyak perkara-perkara penting yang seharusnya menjadi rujukan dan pelajaran bagi mengubah persepsi kita terhadap bagaimana agama Islam seharusnya dianggap dan difikirkan. Beliau berpendapat, Islam seharusnya bersifat membebaskan manusia dari kezaliman dan penindasan, membela dan melindungi  golongan- golongan “mustadh`afin” (yang lemah) dan menentang golongan-golongan “mustakbirin” (yang kuat dan sombong) . Islam seharusnya membawa keadilan Tuhan kepada masyarakat dan membebaskan mereka dari keadaan hidup yang tertindas.

Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajak manusia menegakkan keadilan dalam masyarakat antaranya Surah An-Nisa , 4 :75  yang bermaksud:

"Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)".

Allah juga berfirman :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Ashgar juga memetik pendapat Nawab Haider Naqvi (1981), pakar ekonomi Pakistan di dalam bukunya “Ethics and Economics- An Islamic Synthesis” yang mengatakan bahawa “….keadilan sosial dalam Islam berakar pada tauhid. Sebenarnya, keyakinan kepada Tuhan itu secara otomatis mempunyai konsekuensi untuk menciptakan keadilan. Salah satu tidak akan ada tanpa yang satunya….”.

     Jika dilihat pada penurunan Rasul-Rasul ke muka bumi bertujuan membuat satu gerakan mencabar status quo yang menindas dan menzalimi rakyatnya:
  • Nabi Musa A.S diturunkan membantu kaum Israel yang tertindas melawan regim zalim Firaun.
  • Nabi Isa A.S diturunkan bagi membantu yahudi menentang regim zalim Rom
  • Nabi Muhammad (SAW)  juga membina gerakan menentang pembesar-pembesar Quraiysh yang sombong dan menindas fakir miskin dan mengumpulkan kekayaan berlipat ganda .


     Di dalam buku “Speeches that Changed the World “, diterbitkan pada tahun 2005, menghimpunkan lebih 50 ucapan-ucapan penting dari orang ternama dan revolusiner yang memberi impak dan mencorakkan peristiwa-peristiwa agung dunia. Tidak hairan lagi, 3 tokoh pertama yang dimuatkan ialah ucapan dari Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad a.s yang ketiga-tiganya mempunyai asas perjuangan yang sama, yakni membebaskan manusia dari dizalimi dan menjadi hamba kepada manusia lain kepada hanya menjadi hamba kepada Tuhan yang satu dan berpegang hanya kepada kedaulatanNya.

     Raif Khoury (1979), seorang Marxist dari Lebanon , di dalam bukunya “Marxisme and the Muslim World” menyatakan makna penting disebalik laungan takbir yang sering kita dengari tapi tidak dihayati dalam erti kata yang sebenar. Beliau menyebut :
Betapa sering kita mendengar suara azan dari menara di kota-kota Arab yang abadi ini.Allahuakbar! Allahuakbar! Betapa sering kita membaca atau mendengar Bilal, seorang keturunan Abyssinian, mengumandangkan azan untuk pertama kalinya sehingga menggema di jazirah Arab….Namun apakah kalian sudah merenungkan apa yang dimaksud dan apa isi dari panggilan itu? Apakah setiap mendengarkan panggilan suci itu , kamu ingat bahawa Allahu Akbar bermakna (dalam bahasa yang tegas): berilah saksi kepada para lintah darat yang tamak itu! Tariklah pajak dari mereka yang menumpuk-numpuk kekayaan! Sitalah kekayaan para tukang monopoli yang mendapatkan kekayaan dengan cara mencuri! Sediakan lah makanan untuk rakyak banyak! Bukalah pintu pendidikan lebar-lebar dan majukan kaum wanita! Hancurkan cecunguk-cecunguk yang membodohkan dan memecah-belahkan umat! Carilah ilmu sampai ke negeri Cina (bukan hanya cina zaman dahulu, namun juga sekarang). Berikan kebebasan, bentuklah majlis syura yang mandiri dan biarkan demokrasi yang sebenar-benarnya bersinar!”

Matlamat Asas Islam

     Begitu jelas dan tegas pernyataan ini yang saya kira wajar kita ambil sebenar-benar perhatian setiap kali azan dilaungkan. Islam agama yang memecahkan strata sosial yang menindas. Islam agama yang memberi ruang pendidikan yang mencukupi. Islam agama yang menjanjikan keadilan sejagat yang buta kaum, warna kulit ,status mahupun agama lain.

     Islam bukan sekadar agama rohani berbentuk ritual-ritual keagamaan semata, malah suatu gerakan yang mencabar status quo yang zalim dan memacakkan keadilan Tuhan melalui pesan-pesan dan firmannya, bukan sekadar mengambil dan memetik Quran dan Hadith bagi meredakan kesakitan dan keperitan masyarat tertindas seperti candu yang menjadikan mereka pasif terhadap kezaliman. Petikan ini jelas menunjukkan peranan yang sepatutnya diambil oleh muslim dengan menjadikan Islam sebagai ruang membentuk aspirasi kearah pembangunan manusia melalui perjuangan keadilan sosial dan bukan hanya berfalsafah dan berintelektual sehingga melangit dan tidak mampu membawa mesej yang jelas dan merakyat.

     Agamawan-agamawan seharusnya mengambil tanggungjawab ini memimpin umat dan mengerakkan wahyu-wahyu Tuhan dalam membela masyarakat tertindas dan terkebelakang, dan bukan hanya menjadi duta-duta produk , membuat kem-kem motivasi dan mengumpul kekayaan dan secara ironis menggunakan ayat-ayat Tuhan menyuruh mereka bersabar dengan kesusahan dan penindasan.

     Akhir kata, marilah sama-sama membina kesedaran dan menggerakkan umat akan tuntutan sebenar wahyu Tuhan dan apakah makna sebenar kehidupan beragama. Pesan-pesan nabi-nabi dan rasul-rasul perlu kita jadikan slogan perjuangan yang berterusan dan menghidupkan jiwa-jiwa yang dalam kelalaian dan bangkit berubah dari keadaaan kesusahan mereka.