Friday, October 2, 2015

Apa Itu TPPA?


Trans Pacific Partnership Agreement atau Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik adalah salah satu cara lain untuk kepentingan-kepentingan korporat US mengongkong negara-negara yang sedang membangun dari sudut geo-politik. Dalam hal ini, di kawasan Asia-Pasifik. Sebenarnya, apa saja cadangan dari Amerika Syarikat dalam perjanjian ini akan menguntungkan kepentingan-kepentingan korporat dari Negara itu, dan akan merugikan kita. Mereka mengatakan ia adalah perdagangan bebas; tapi ia adalah perdagangan yang tidak bebas dan tidak adil; cuba dikawal ketat melalui undang-undang antarabangsa. Apa yang dikehendaki dari persefahaman ini adalah supaya mereka dapat peluang monopoli perolehan kerajaan dan pasaran Malaysia selepas ia dibuka kepada syarikat asing tanpa kawalan. Malah, Amerika yang dikuasai oleh gergasi-gergasi korporat ingin meletakkan kepentingan syarikat-syarikat pelabur lebih tinggi daripada kepentingan rakyat dari pelbagai aspek kehidupan, seperti hak untuk kesihatan dan hak untuk mengawal maklumat (hakcipta dan paten).

Malangnya, kita adalah antara 12 negara yang bakal sewenang-wenangnya bersetuju untuk menerima dasar-dasar TPPA ini. 12 negara tersebut adalah Australia, Brunei, Chile, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat, Vietnam, Jepun dan Malaysia. Ia masih terbuka kepada negara-negara lain untuk sertai. US sedang giat berkempen untuk ini.

Ada 29 bab yang berasingan, yang digubal secara penuh kerahsiaan, tidak telus, dan tidak dibuka kepada pengetahuan orang awam malahan kepada wakil rakyat dan menteri-menteri yang lain. Hanya Kementerian Perdagangan sahaja yang mempunyai akses penuh. Namun kita boleh jangkakan lebih 80% daripada perjanjian ini adalah sama seperti perjanjian antara US dengan negara-negara lain (contohnya Singapura, Colombia, Peru dll) begitu juga ada banyak persamaan dengan NAFTA (north america free trade agreement) dan CAFTA (central america free trade agreement).

Telah terbukti perjanjian-perjanjian sebelum ini GAGAL untuk menaik-taraf kehidupan rakyat biasa di Negara-negara yang menandatangani perjanjian seperti TPPA sebelum ini, dan hanya menguntungkan korporat-korporat besar dan dari negara kaya. Yang kaya akan lebih kaya dan yang miskin akan terus dihimpit kemiskinan.

Apakah Kesan TPPA Terhadap Malaysia?
Antara 29 bab yang sedang dirundingkan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) oleh Malaysia dan 11 negara lain, bab Pelaburan boleh dikatakan antara yang paling ‘mengerikan’.

Ini kerana peraturan di bawah bab ini memberi kelebihan melampau kepada pelabur luar sehingga membenarkan mereka mencabar dasar sesebuah kerajaan walaupun dasar itu dibuat bagi kepentingan awam, seperti peraturan dalam sektor kesihatan atau penjagaan alam sekitar.

Kita perlu belajar daripada Mexico yang telah melalui pengalaman ngeri ini daripada pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), iaitu perjanjian perdagangan bebas (FTA) hampir serupa dengan TPPA yang ditandatangani oleh negara Amerika Selatan itu, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini, Mexico berdepan 14 kes saman bernilai berbilion ringgit daripada pelabur luar yang difailkan di bawah Bab 11 dalam NAFTA, iaitu peruntukan untuk melindungi pelabur luar dan memudahkan penyelesaian dalam pertelingkahan pelaburan.

Satu contoh kes difailkan terhadap kerajaan Mexico melibatkan syarikat pengurusan sisa AS, Metalclad Corporation. Metalclad pada 1996 mengemukakan saman di tribunal NAFTA selepas kerajaan negeri San Luis Potos di Mexico enggan memberi kebenaran untuk syarikat itu membuka semula sebuah kilang pengurusan sisa selepas audit geologi menunjukkan kilang itu akan mencemarkan bekalan air penduduk tempatan.

Menurut Metalclad, tindakan kerajaan Mexico itu melanggar Bab 11 dalam NAFTA dan ‘merampas keuntungan syarikat’ atau ekspropriasi. Syarikat itu menuntut AS$90 juta (RM330 juta) pampasan. Tribunal itu membuat keputusan menyebelahi Metalclad dan mengarahkan Mexico membayar pampasan AS$16.7 juta (RM61 juta).

Dan kini, bab Pelaburan yang diusulkan dalam TPPA oleh AS menggunakan acuan sama seperti NAFTA, iaitu memberikan perlindungan melampau kepada pelabur luar. Kerajaan Australia pula disaman British American Tobacco (BTA, pengeluar rokok jenama Dunhill) pada 2012 kerana memperkenalkan undang-undang – berdasarkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia – yang mengharuskan syarikat tembakau menggunakan pembungkusan biasa (plain packaging) tanpa iklan dan jenama untuk menghalang lebih ramai rakyatnya meninggal dunia akibat tabiat merokok.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan Australia itu dianggap BTA sebagai melanggar hak mereka di mana harta intelektual (iaitu jenama dan tanda dagangan atau ‘trademark’) mereka seolah-olah dirampas tanpa pampasan. Walaupun tewas di mahkamah Australia, syarikat gergasi itu masih meneruskan kempen untuk menghalang negara lain dari melakukan perkara sama seperti Australia.

Dengan menggunakan kes ini sebagai rujukan, Philip Morris International pula memfailkan saman terhadap kerajaan Australia, bukan di mahkamah Australia, tetapi di mahkamah antarabangsa dengan menggunakan mekanisma Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS). Mekanisma ini membolehkan syarikat antarabangsa mendapatkan pampasan besar dari sesebuah negara yang memperkenalkan undang-undang yang dirasakan merugikan pihaknya. Kes ini masih berjalan.

Jadi, jika Malaysia menandatangani TPPA, kita juga mungkin menerima kesan sama seperti Mexico dan Australia.

Dasar afirmatif seperti keistimewaan kepada Bumiputera yang diamalkan Malaysia juga boleh dipertikaikan di bawah TPPA.

Selain itu, bab pelaburan yang dicadangkan AS juga memberikan pelabur asing hak untuk mencabar negara TPPA yang cuba atau telah memperkenalkan kawalan modal atau peraturan kewangan lain yang tujuannya semata-mata untuk memastikan kestabilan ekonomi kepada negara.

Malaysia memperkenalkan kawalan modal selepas kegawatan ekonomi pada 1997 apabila Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyedari krisis kewangan itu berpunca daripada konspirasi penyangak matawang sehingga hampir meruntuhkan ekonomi negara.

Di bawah TPPA, jika kita menandatangani versi yang sedang dirundingkan kini, tidak mungkin kita dapat melindungi ekonomi kita menggunakan cara sama jika ia sekali lagi diserang penyangak mata wang, sekali gus mendedahkan negara kepada manipulasi dunia kewangan yang semakin canggih hari ini.

Kebimbangan terhadap perkara ini menyebabkan lebih 100 pakar ekonomi dari sekitar Asia Pasifik dalam surat pada 2012 memberi amaran kepada kerajaan masing-masing mengenai bahaya peruntukan dalam perjanjian itu terutama isu kawalan modal.

Dalam bab Perkhidmatan Kewangan di bawah TPPA pula, terdapat kebimbangan yang peruntukannya akan memaksa Malaysia membenarkan kemasukan bank luar tanpa sebarang kekangan.

Mengikut kertas kerja Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2006, kehadiran bank gergasi di negara membangun akan menyebabkan penurunan dalam pinjaman kepada sektor swasta kerana bank besar lebih gemarkan syarikat multinasional dan firma besar daripada memberikan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Jadi akhirnya, kehadiran bank asing mempunyai akan memburukkan lagi ketidaksamaan dalam kebajikan rakyat. Bagi MTEM, bab Pelaburan ini tidak perlu ada sama sekali dalam TPPA dan jika ada pun, definisi ‘pelaburan’ itu perlu diperjelaskan, dan perlu terhad kepada sesetengah projek sahaja.

Selain itu, TPPA juga tidak patut menentukan peraturan dalam aliran modal di mana-mana negara, dan kita juga perlu dibenarkan menentukan sendiri cara kerajaan melayan pelabur luar dan syarikat domestik.

Peruntukan untuk layanan adil dan sama rata juga tidak perlu ada dalam TPPA. Perlu diakui pemain industri dalam negara memerlukan perlindungan kerajaan daripada diratah hidup-hidup oleh firma gergasi antarabangsa yang hanya menunggu masa untuk menerkam kita!

No comments:

Post a Comment