Sunday, November 6, 2016

MAY GOD HAVE MERCY UPON THIER SOULS

China telah lama "melabur" dalam pelbagai projek infrastruktur di Zimbabwe sejak 1980 dengan nilai sebanyak USD5 Bilion. Antara ribuan projek China di Zimbabwe,yang menarik perhatian saya adalah pada tahun 2012, China "membantu" membangunkan projek rel keretapi di Zimbabwe.

Empat tahun selepas projek keretapi itu bermula, pada hari ini China telah berjaya mengawal 80% dari ekonomi dan pentadbiran negara Zimbabwe dan menjadikan Zimbabwe seperti sebuah Koloni negara China di benua Afrika. Matawang Yuan juga telah di jadikan matawang rasmi di Zimbabwe apabila China mengecualikan pembayaran balik hutang sebanyak USD40 juta kpd Zimbabwe.

"Ini bukan cerita lawak jenaka yang selalu kita reka untuk  mengambarkan betapa kelakar dan bodohnya orang benua afrika ini. Ini kisah benar, bagaimana penjajahan bentuk baru bukan lagi secara ketenteraan, tetapi berlaku secara penaklukan ekonomi oleh kuasa besar dunia terhadap sebuah negara yang lemah pengurusan ekonominya." Rakyat Zimbabwe yang tidak tahu apa-apa mengenai tindakan kerajaannya terpaksa menanggung akibat dari kesilapan dan kelemahan pentadbiran oleh pemimpin mereka Mugabe.

Kebimbangan kita  mengenai bahaya terlalu bergantung kepada negara China dalam pembangunan negara kita terbukti berasas apabila kerajaan mengambil keputusan berhutang RM50 bilion daripada China untuk membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Tidak ramai daripada kita tahu mengenai projek raksasa itu kerana tidak banyak atau belum banyak yang diperkatakan mengenainya.Tiba-tiba sahaja ia muncul dan dalam sekelip mata menjadi projek yang akan mengikat kejap pergantungan negara kita kepada China dari segi kewangan, kepakaran dan tenaga.

Daripada apa yang kita dengar dan baca dari Beijing hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah projek itu dibagi secara francais 100% kepada China. China membekal modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja. Ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.

Kita kena ingat, di negara China tidak ada pemisahan di antara kerajaan dengan perusahaan. Kerajaan memiliki semua industri dan kegiatan ekonomi strategik. Kerajaan China seperti kita maklum adalah kerajaan komunis walaupun dari segi ekonomi ia mengamalkan kaedah kapitalis.

Bukan projek ECRL saja dibagi kepada China. Daripada laporan media, kerajaan juga bersetuju, buat kali pertama dalam sejarah, membeli kapal perang persisiran pantai daripada China dan bekerjasama dalam kawalan Laut China Selatan.

Saya tidak tahu sama ada Kabinet, Barisan Nasional dan Umno telah membincangkan sedalam-dalamnya anjakan paradigma kerjasama dua hala yang melibatkan negara komunis China itu.

Saya tidak mahu mempersoalkan daya maju ECRL kerana saya tidak pernah mendengar mengenainya apatah lagi mengetahui mengenai kajian kemungkinan (feasibility study) ke atasnya. Yang menakjubkan adalah kepantasan projek itu dirancang, diputuskan dan kontraknya diberikan kepada China.

Kita tidak menafikan yang China telah mengumpul dana yang banyak dan membangunkan kepakaran dalam bidang pengangkutan kereta api dalam jangka masa singkat. Dalam masa kurang dua dekad China telah berjaya membina sistem kereta api laju di antara Beijing dengan Shanghai dan 1,956 kilometer kereta api gunung di Dataran Tibet. Sejak itu, Parti Komunis China menjadikan kereta api sebagai landasan kedua perluasan pengaruh China secara gandingan kepada laluan maritim. Dasar China adalah menggunakan kereta api untuk “menakluki” daratan dan armada untuk menguasai laut dalam usahanya kembali menjadi kuasa ekonomi dan tentera dunia.

Projek-projek di negara kita seperti ECRL, Bandar Malaysia dan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura adalah secocok dengan pelan induk kereta api Asia yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara, Asia Selatan dan Eropah.

Impian China adalah menjelmakan semula kedua-dua komponen Laluan Sutera (Silk Road), iaitu darat dan laut. Laluan dagangan yang menghubungkan China dengan Eropah itu bermula pada zaman Dinasti Han sekitar 207 sebelum era Kristian hingga 220 era Kristian atau 2,213 tahun lalu. Jadi apa yang sedang berlaku sekarang adalah China menggunakan kuasa kewangan, teknologi, diplomasi dan ketenteraan untuk mengembalikan keagungan tamadun silamnya dalam bentuk baru.

60% saham syarikat pemaju Bandar Malaysia di tapak Pangkalan TUDM Sungai Besi telah pun dijual kepada konsortium China-Malaysia dan China dipercayai mendahului dalam rundingan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

Baru-baru ini, Pengurus Besar China Railway Group di Malaysia, Cai Zemin berkata, syarikatnya akan membina bandar bawah tanah terbesar di dunia di tapak Bandar Malaysia yang akan menjadi “permata bergemerlapan” dalam rangkaian kereta api China.

Daripada aspek hutang kerajaan yang menggunung, pinjaman RM50 bilion daripada negara China itu akan melonjakkannya melepasi RM700 bilion. Itu belum dikira kos kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan RM50 bilion dan hutang 1MDB RM50 bilion. Ada yang kata sudah naik kepada RM53 bilion.

Perangkaan Bank Negara Malaysia pada akhir Jun lalu, menunjukkan hutang kerajaan sebanyak RM655.74 bilion.  


Garis waktu (timeline) hutang kerajaan adalah seperti berikut:

Tun Dr Mahathir Mohamad = RM189 bilion

Tun Abdullah Ahmad Badawi = RM306 bilion

Najib = RM655.74 bilion tidak termasuk hutang RM50 bilion daripada China

Sunday, March 20, 2016

May the wounds of violence be healed

Ledakan bom mengegarkan Turki lagi. Kali ini ledakan terjadi di Istiklal Caddesi yang terletak di ibu kota Istanbul yang sangat terkenal. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS sering dikaitkan sebagai dalang kepada insiden ini. Ramai yang mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun ketahuilah bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki tetapi apa yang terjadi sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman dan bergerak lebih maju kehadapan.
Sebelum kita berbicara lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki. Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah sekaligus menafikan sebarang hak bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, bahasa dan agama. Ia adalah sebuah kedaulatan yang menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana  yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299 lagi.
Apabila perjanjian “Skyes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa, ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi nasionalism yang sempit. Umat manusia yang hidup bersama-sama dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka. Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri. Mereka seringkali berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri. Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan seperti Israel, Amerika, Russia dan Rejim Bashaar di Syria. Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang mengalami situasi yang sama.
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah serangan keatas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir. Apa yang Turki perlukan pada saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. 
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini diserang dari setiap sudut, Ini dapat dilihat dari liputan dari media antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun datang melancong ke Turki. Kita juga dapat menilai kempen solidariti untuk Turki tidak mendapat layanan yang sama seperti di France oleh pemimpin-pemimpin dunia dan media antarabangsa termasuk media sosial sendiri.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa luar yang memusuhi Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki yang kini mula membangun dari setiap sudut. Sepertimana saranan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, pada saat ini hanya Turki lah satu-satu negara yang tegas dan bangkit dalam menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.