Sunday, March 20, 2016

May the wounds of violence be healed

Ledakan bom mengegarkan Turki lagi. Kali ini ledakan terjadi di Istiklal Caddesi yang terletak di ibu kota Istanbul yang sangat terkenal. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS sering dikaitkan sebagai dalang kepada insiden ini. Ramai yang mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun ketahuilah bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki tetapi apa yang terjadi sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman dan bergerak lebih maju kehadapan.
Sebelum kita berbicara lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki. Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah sekaligus menafikan sebarang hak bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, bahasa dan agama. Ia adalah sebuah kedaulatan yang menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana  yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299 lagi.
Apabila perjanjian “Skyes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa, ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi nasionalism yang sempit. Umat manusia yang hidup bersama-sama dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka. Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri. Mereka seringkali berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri. Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan seperti Israel, Amerika, Russia dan Rejim Bashaar di Syria. Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang mengalami situasi yang sama.
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah serangan keatas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir. Apa yang Turki perlukan pada saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. 
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini diserang dari setiap sudut, Ini dapat dilihat dari liputan dari media antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun datang melancong ke Turki. Kita juga dapat menilai kempen solidariti untuk Turki tidak mendapat layanan yang sama seperti di France oleh pemimpin-pemimpin dunia dan media antarabangsa termasuk media sosial sendiri.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa luar yang memusuhi Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki yang kini mula membangun dari setiap sudut. Sepertimana saranan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, pada saat ini hanya Turki lah satu-satu negara yang tegas dan bangkit dalam menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.




No comments:

Post a Comment