Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang
tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang
lebih baik. Kata ‘Umar bin ‘Abdul
‘Aziz kepada Rajak bin Haiwah :
“Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa
yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan
sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah
binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan
gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan
khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku
dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah
lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Manusia yang
normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik.
Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami
kesusahan. Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada
yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak
kesusahan di peringkat awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum
mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang
berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa
tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan
persekitaran baru dan pelbagai lagi.
Namun jika dia
tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam
rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih
selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.
Manusia
yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini.
Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia
bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang
merentasi masa dan tempat. Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip
kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam
masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan
mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun
tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga
kiamat.
Manusia
yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak
pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke
peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan
dirinya. Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan
berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan
makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia lupa bahawa
kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah
jika dia sihat.
Air
yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air
yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung
kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu.
Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:
‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di
satu tempat. Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya
engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana
kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat
terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak
mengalir tidak baik’.
Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:
“Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka
diciptakan bukan untuk zaman kamu”.