Saturday, April 27, 2013

Hijrah


Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik.  Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz kepada Rajak bin Haiwah :
“Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
            Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan. Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal. Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak. Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.
Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.

            Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat. Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.
            Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu. Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang yang membodohkan dirinya. Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi. Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat.
            Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu. 
Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:
‘Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah. Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik’.

Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:
“Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu”.

No comments:

Post a Comment